Wednesday, September 23, 2009

Taman anggur tarikan baru pelancongan Terengganu

ARKIB : 23/09/2009

Taman anggur tarikan baru pelancongan Terengganu

KUALA TERENGGANU 22 Sept. - Terengganu bakal mewujudkan taman anggur sebagai tarikan pelancongan baru di Tasik Kenyir yang melibatkan kawasan seluas kira-kira 10 hektar tidak lama lagi.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said berkata, tanaman itu dijangka mula dilaksanakan penghujung tahun ini dan ia bukan untuk dieksport sebaliknya sebagai satu tarikan baru pelancongan di negeri ini selain bagi keperluan domestik.

Beliau berkata, buah anggur itu merupakan spesies anggur yang ditanam di Thailand berwarna merah dan hijau yang sesuai untuk ditanam di negeri ini, berbanding benih dari Amerika Syarikat (AS) atau rantau Eropah.

''Anggur yang diusahakan di Thailand sangat berjaya, kenapa kita tak boleh buat, malah di Perlis dan Negeri Sembilan pun ada anggur.

''Saya yakin kita boleh berjaya, masalahnya sekarang yang tak berjaya sebab kita ambil benih anggur dari Amerika Syarikat dan Eropah, ia tak sesuai dengan (iklim) kita sedangkan teknologi di Thailand sangat maju dan kualiti buahnya sama," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis Sambutan Aidilfitri Menteri Besar Terengganu Bersama Perantau yang dihadiri kira-kira 6,000 orang di Taman Tamadun Islam (TTI), di sini hari ini.

Ahmad menjelaskan, buat masa ini pihak mana yang akan diberi tanggungjawab untuk menguruskan projek tanaman tersebut masih belum diputuskan.

Namun katanya, untuk peringkat awal kerajaan negeri bercadang melantik Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) bagi tujuan tersebut.

Menurutnya, anggur yang terdapat di taman itu kelak akan memberi peluang kepada para pengunjung termasuk pelancong untuk membeli seterusnya menikmati keenakannya.-Utusan

No comments:

Post a Comment