Wednesday, June 17, 2009

Peruntukan RM800,000 maju ternakan ikan

KUALA TERENGGANU – Pembabitan seramai 20 peserta dalam Projek Ternakan Ikan Tilapia Dalam Sangkar dijangka merancakkan lagi projek berimpak tinggi bernilai RM50 juta yang dibangunkan sebelum ini.

:Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Rozi Mamat berkata, RM800,000 diperuntukkan melalui kerjasama Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) bagi menjayakan projek penghasilan makanan berasaskan ternakan ikan termasuk makanan sejuk beku.

:Menurut Rozi, pihaknya mengenal pasti peserta yang berminat dan program dikelolakan Terengganu Agrotech Development Corporation (TADC) akan berunding dengan YPU bagi memastikan pelaksanaannya berjalan lancar.

:“Pihak YPU setuju beri bantuan RM40,000 dalam bentuk pinjaman kepada pengusaha yang berminat menceburi bidang perikanan termasuk penganggur. “Kursus berkaitan turut disediakan kepada peserta bagi memastikan mereka dapat meningkatkan ilmu pengetahuan dalam bidang ini,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas melancarkan Program Promosi Hasil Ternakan Ikan Sungai Como Tasik Kenyir Terengganu, semalam.

:Pada program itu, Rozi turut menyertai demonstrasi masakan yang dikendalikan Chef Ismail menggunakan produk makanan ikan air tawar.

:Menurut Rozi, kerajaan negeri juga akan berusaha mempromosikan ikan air tawar ke luar Terengganu selepas ini, seperti di Johor Bahru.

:“Fokus dan sasaran kami adalah pelancong Singapura, Kuala Lumpur serta beberapa kawasan lain yang mempunyai potensi pasaran yang luas.

:“Alhamdulillah, projek kelolaan TADC sehingga kini telah bertambah kepada 1,800 sangkar daripada 200 sangkar sejak dilancarkan mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi pada Jun 2006,” katanya.:Sinar

No comments:

Post a Comment